Pages

Friday, November 26, 2010

Malam pertama

Segala puji hanya bagi Allah, dan selawat serta salam untuk Nabi Muhammad s.a.w yang tiada lagi seorang nabi pun sepeninggalan baginda.

Malam pertama di dalam kubur, itulah yang selalu ditangisi oleh para ulama, dikadukan oleh para ahli hikmah, diratapi oleh para penyair, dan dijadikan ilham oleh para seniman dalam menyusun nyanyian ratapan. Itulah malam yang sangat mengerikan dan menakutkan, orang-orang saleh baik dahulu maupun sekarang.

Berikut ini kita akan menyemak sedikit kisah mereka dalam hal ini; semoga Allah memberikan manfaat kepada kita dari kisah-kisah itu dan meringankan kita dari beban berat yang akan kita rasakan di lubang alam barzakh tersebut.

Kisah pertama:

Dikisahkan bahawa seorang orang soleh telah digigit seekor ular waktu dalam perjalanan ke sebuah negeri yang jauh. Kebetulan sebelum memulakan perjalanan tesebut, beliau lupa untuk memohon izin dari kedua orang tuanya, anak-anak dan saudara maranya. Maka beliaupun melantunkan syair sewaktu berdiri di sebuah kuburan. Makna syair tesebut berikut:

Mengapakah aku begitu tega meninggalkan anak-anak tanpa pesan? Mengapakah aku sampai hati berangkat tapa meminta persetujuan kedua ibu bapaku terlebih dahulu?
             Orang-orang berkata kepadaku ketika mereka menguburkanku: "semoga Allah tidak menempatkanmu ke tempat yang jauh!" Padahal, manakah tempat yang lebih jauh daripada kubur? Manakah tempat yang lebih mengerikan daripada kubur? dan manakah tempat yang lebih gelap gelita daripada kubur? ...

Allah S.W.T berfirman:

(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu) sehingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang soleh. Sekali-kali tidak; sesungguhnya itu hanyalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di belakang mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan."
                                                                                                       (Al-mukminun:99-100)

Justeru itu, mari kita renungi kata-kata ini:

     "Engkau dilahirkan oleh ibumu dalam keadaan menangis
     Sedang orang-orang di sekitarmu tertawa bahagia
     Maka berusahalah agar ketika engkau pergi nanti - mereka menangis
     sedang engkau dalam keadaan tertawa bahagia"

Persoalannya, dimanakah kita sebelum malam pertama di kubur itu? Ya Allah, turunkanlah rahmat dan hidayah Mu kepada kami.

Monday, November 22, 2010

Di luar kotak diri.


Manusia bertanggungjawab kepada kehidupan kita sendiri. Keputusan kita seringkali ditentukan oleh tingkah laku kita dan bukannya oleh keadaan kita.

Maka,  pada setiap tingkah laku kitalah  bakal menentukan fungsi kepada semua keputusan-keputusan dalam kehidupan kita. Justeru itu, kita sepatutnya mampu memilih bagaimana memberi respon kepada setiap keputusan yang bakal dilakukan. Sudah tentulah orang yang proaktif menyedari hal ini. Kita seharusnya mencari perkataan 'tanggungjawab' dalam setiap tingkah laku sendiri kerana hal ini adalah disebabkan oleh hasil pilihan sedar sendiri berdasarkan nilai dan bukannya datang dari perasaan.

Orang yang reaktif pula sering dipengaruhi oleh persekitaran fizikal. Kalau cuaca buruk, maka mereka akan membawa perasaan itu bersama mereka. Terbuai-buai dengan angganan dan perasaan yang tiada sempadan juga memang memenatkan. Barangkali kita boleh menggelarkan orang-orang sebegini dengan  "cuaca sosial". Mereka juga lebih cenderung menjadi defensif atau melindungi diri dengan emosi serta menguasakan kelemahan orang lain untuk mengawal diri sendiri.

Kata-kata Eleanor Roosevelt mungkin menepati nilai proaktif yang dimaksudkan. Sekadar memetik kalimat beliau " Tiada siapa yang dapat melukakan anda tanpa kebenaran anda", atau kata-kata Mahatma Gandhi "Mereka tidak dapat merampas hormat kendiri kita jika kita tidak membenarkannya. Hakikat ini barangkali sukar diterima oleh emosi kita kerana kita sering melupakan hakikat dalam setiap tindakan malah cenderung memilih keadaan dan tingkah laku dalam membuat pilihan kepada keputusan hidup kita.

Secara jujurnya dan penuh perasaan cuba kita katakan pada diri kita "Aku begini hari ini kerana pilhan yang telah kubuat semalam". Persoalannya, mampukah kita mengatakan pada diri kita "Aku memilih yang lain....dan harus berubah mengikut pilihan lain dan melanggar semua keputusan beremosi terdahulu" Jadi? sejauhmanakah kita mampu menganjakkan paradigma, merangka keputusan yang baru dan memilih untuk berubah dan memberi respon kepada keputusan kita.

"Tiada apa yang dapat melukakan diri anda, tiada siapa yang dapat menyakitkan hati anda tanpa kebenaran anda dan anda sendiri memilih kehidupan emosi anda yang menyedihkan itu" . Benar!! anda mempunyai kuasa memilih respon tersebut.

Sunday, November 21, 2010

Ahh.. ehh.. uhhh… ihhh…


 Ahh.. ehh.. uhhh… ihhh…

Kususun gatra melewati kerikil-kerikil fonem
Namun yang terujar  hanya puing-puing morf
Ahh.. ehh.. uhhh… ihhh…
Kekadang ia  mendesak malah  seringkali jua ia  buru-buru bertelingkah
Mohon  pamit-pamitan
Mohon sungguh-sungguh

Berkajang –kajang  wacana itu kurengkuh
Dengan minda separa sedar
Kekadang ‘dejavu’ pula melanda
Meski bicaramu teman lunak terngiang
Namun hatiku  gawat benar – sakit dan mencair
bisikan Laknatullah –merayu-rayu di malam sunyi
“Lancarkan gatra itu” ujarnya lirih
“Tidak kesihankah kau pada Qalb? Ia pedih dihiris-hiris begitu” – rintihnya lagi 
Aku yang mendengar menjadi nanar sendiri

Ya Rabb..
Dari kicau kupilih bisu
Meski bisikan Qarin itu meronta dan  menggila
Aku tak mampu Ya Malikul Malik
Aku tak upaya Ya Jabbar
Bantu aku Ya Rahman…

Antara sayangku pada Nya dan kasihku padamu
Kupilih Dia
Lantas 
Gatra itu biar tersimpan kukuh diam-diam di Qalb
Ya Rahim…
Aku datang pada Mu
Bersimpuh dengan hati penuh durja
Kupilih bisu
Terimalah aku yang lemah dan tidak berdaya
Kerna aku tidak mampu menarik gatra itu lebih dari upayaku…………

Dari
CIKGU NORWATI MOHD ZAIN