Pages

Tuesday, December 21, 2010

KEMARUK


“Ku memohon dalam sujudku pada-Mu
Ampunkanlah segala dosa dalam diri
Ku percaya Engkau bisa meneguhkan
Pendirianku… Keimananku…
              Ku memohon dalam sujudku pada-Mu
    Ampunkanlah segala dosa dalam diri
    Ku percaya Engkau bisa meneguhkan
    Pendirianku… Keimananku…
             Engkau satu cinta
   Yang selamanya ...”

              Cinta? Apa itu cinta? Apakah ada cinta sejati? Benarkah cinta yang diikrarkan oleh dua sjoli itu cinta sejati? Cinta itu penuh dengan sejuta gelisah, penuh dengan rasa dan ketika cinta melanda, maka kita akan terhanyut di dalamnya.

                Kita juga tidak dapat menyangkal bahawa manusia akan mangalami rasa cinta. Kecintaan kepada lawan jenis akan membawa kepada kerinduan dan seringkali juga berakhir dengan kedukaan.

Islam secara jelas telah mengariskan batasan-batasan tertentu dalam pergaulan antara lelaki dan wanita. Antara batasan-batasan tersebut ialah menundukkan pandangan, tidak saling bersentuhan dan menutup aurat serta menjauhkan diri dari zina melalui berdua-duaan dan sebagainya.

                Batasan-batasan tersebut sebenarnya tidak lagi dihiraukan oleh kebanyakan pencinta hari ini. Pencinta hari ini begitu serius menganjurkan pertemuan secara langsung atau melalui sms. Hubungan ini jelas sekali adalah sesuatu yang terlarang kerana orang-orang kemaruk rindu dan cinta mahsyuk  akan berusaha  mencari jalan untuk melampiaskan ‘rasa’ tersebut . Dahsyatnya penangan rindu dan cinta itu!

                Lalu bagaimanakah solusi yang perlu diambil bagi mengubati penyakit cinta dan rindu yang menggebu-gebu itu? Semoga panduan yang bakal diberikan ini dapat memberi manfaat kepada pencinta-pencinta di luar sana. Antara solusi yang terbaik ialah:-

1.  Menyegerakan perkahwinan agar tidak terjerumus kepada zina. Hal ini bersesuaian  dengan saranan Nabi Muhammad S.A.W  “Wahai para pemuda, barang siapa yang telah memiliki kemampuan ba’ah  , maka menikahlah kerana ia akan menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan…, bagi yang tidak mampu, maka berpuasalah..

         Pemuda yang dimaksudkan di sini ialah pemuda yang belum mencapai usia 30 tahun, manakala ba’ah  merujuk kepada berkemampuan untuk berjima’ dan  mampu memberikan nafkah kepada sang isteri dan keluarganya. Malangnya rata-rata pencinta  hari ini telah mentafsirkan ba’ah tersebut hanya kepada kemampuan  dari segi perhubungan suami isteri sedangkan maksud sebenarnya lebih dari itu. Jelas sekali bahawa pemahaman seumpama ini adalah bersalahan dan amat mengelirukan.  Maka tidaklah menghairankan kita hari ini bila mana wujudnya  pemuda-pemuda yang tergedik-gedik mahu berkahwin tetapi dalam soal makan minum pula masih menagih belas ehsan dari orang tua. Menikah sebenarnya dapat menundukkan pandangan  dan menjaga kemaluan. Islam juga menyarankan agar mereka yang tidak berkemampuan supaya berpuasa agar dapat merawat rasa rindu yang menggebu-gebu antara pasangan lawan jenis tadi.

2.  Berusaha untuk ikhlas dalam beribadah. Nikmat dalam beribadah akan menimbulkan kecintaan kepada Allah dan mampu mengalahkan segala macam cinta dan kerinduan. “Manisnya beribadah kepada Allah mampu melawan semua cinta dan kasih kepada kekasih sesama manusia”.


3.  Bagaimana kepada mereka tidak mampu mengikuti solusi pertama dan kedua? Maka jalan lainnya ialah banyakkan memohon doa kepada  Allah agar terlepas dari rasa cinta yang menggila sesama manusia yang tidak halal baginya. Ada 3 perkara yang akan berlaku sekiranya manusia itu berdoa iaitl: Allah segera mengabulkan doanya, menyimpannya sebagai bekal  di akhirat kelak,  dan menghindarinya dari kejelekan. Maka janganlah kita mudah berputus asa kerana antara sebab doa tidak dikabulkan ialah datangnya dari sikap manusia yang mudah putus asa atau tergesa-gesa mohon agar doanya dikabulkan.

4. merejam rasa rindu dan cinta dengan mengawal/menundukkan pandangan iaitu dengan tidak melihat  aurat sesama jenis atau lawan jenis dan tidak memandang lawan jenis yang bukan mahram. Pandangan yang berulang-ulang sebenarnya boleh membarakan api yang besar kepada cinta dan rindu yang menggila-gila yang seterusnya berakhir kepada kehancuran. Bagaimana pula dengan pandangan yang selintas dan tidak disengajakan? Saranannya ialah segera memalingkan pandangan tersebut. Hikmahnya?  Dengan mengawal dan menundukkan pandangan maka akan menimbulkan rasa cinta kepada Allah.  Kecintaan kepada Allah akan merejam rasa cinta atau rindu kepada manusia.

5. Sibukkan diri dengan aktiviti yang bermanfaat. Jika kita tidak menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang bermanfaat maka kita juga akan “sibuk” dengan ber angan-angan khususnya  perkara-perkara yang berkaitan dengan cinta dan rindu. Contoh angan-angan yang parah ialah  mengkhayalkan wanita yang dirindui. Justeru, cantaslah segera kerinduan tersebut dengan menyibukkan diri dalam aktiviti yang bermanfaat. Apabila fikiran ‘menganggur’ maka akan wujudlah ruang-ruang “kemaruk cinta” sebagaimana pernah diujarkan oleh ahli-ahli  Sufi  iaitu “Jika dirimu tidak sibuk dengan hal bermanfaat maka pasti kau akan sibuk dengan hal yang sia-sia dan hal-hal yang diharamkan.”

6.  Hindari nyanyian dan filem bertemakan  cinta mahsyuk.  Sebenarnya nyanyian seumpama ini adalah umpama candu  yang akan lebih memarakkan kemaruk cinta dan rindu. Lirik lagu yang  haru biru akan mendorong kepada kegilaan yang  bertambah-tambah kepada rasa cinta  rindu itu.  Ibnu Mas’ud  berpendapat bahawa “ nyanyian adalah pembuka kepada  pintu-pintu zina, nyanyian juga adalah antara mantera-mantera kepada zina, Melalui nyanyian juga boleh menumbuhkan sifat kemunafikan dalam hati sebagaimana air dapat menumbuhkan tumbuhan” . Biasanya  apabila mendengarkan lagu-lagu cinta secara tidak langsung akan mendorong kepada pelbagai “rasa” iaitu ingin berjumpa, ingin bersentuhan dan akhirnya terdorong kepada penzinaan. Nauzubillah

7. Berusahalah membayangkan kekurangan orang yang selalu kita cintai dan rindui. Orang yang bercinta selalu bersifat tidak adil kerana berkecenderungan melihat hal-hal  yang baik-baik sahaja dalam diri pasangan mereka. Sikap ini langsung tidak profesional.  Maka, berusahalah menilai dari sisi positif dan negatif sebagaimana  kita menilai orang lain yang bukan berstatus kekasih . Ibnu Jauzi  berpendapat bahawa “Manusia itu penuh dengan kejelekan dan tidak layak disanjung-sanjung”.  Hal ini sepadanan pula dengan kata-kata para  ulama’  iaitu “mata yang diliputi hawa nafsu akan menjadi buta” .  Wallahualam

1 comment:

  1. salam..sama2 kita follow untuk ilmu yer..http://bingkaibiru.blogspot.com/

    sy da follow..follow back yer

    ReplyDelete