Pages

Friday, December 10, 2010

Aku dan Nota itu

         Sewaktu mencapai naskhah-naskhah buku lama, tiba-tiba sahaja sekeping nota kecil melurut jatuh ke lantai. Warnanya sudah pudar dek ditelan waktu. Namun isinya masih dapat dibaca. " Cikgu... doakan agar kami berjaya.."

        Tiba-tiba sahaja aku diserbu berjuta rasa. Sungguh... nota itu meskipun sudah lama namun tetap menggamit pelbagai persoalan dan sehingga kini aku masih terus-terusan berdoa agar anak-anak ini berjaya dalam apa sahaja yang dilakukan oleh mereka selagi mereka masih berada di atas landasan kalimah Nya.

            Anak-anak itu sebenarnya tidak tahu warna apa yang dicorakkan kepada mereka. Bermula dengan warna putih kemudian dipalit pula dengan kontras warna malah akhirnya barangkali warnanya ceria atau terus hitam. Persoalannya, tangan siapakah yang berani-berani mewarnakan mereka dengan warna-warna durja? Hitam pekat kelam?
            Teringat pula aku akan kata-kata bekas guruku dulu " Kepala  adalah nakhoda dan badan pula hanyalah hamba". Pada mulanya, aku langsung tidak dapat memahami maksud kata-kata arwah guruku itu, namun dengan perubahan masa, aku mulai memahami maksud setiap patah tutur katanya. Kepala yang mengandungi otak dan otak itu harus sihat untuk mengawal semua gerak kerja hamba badan. Apa pula natijahnya andai fungsi nakhoda dan hamba ini diterbalikkan? Hmmm... Justeru itu, tangan-tangan yang memegang warna seharusnya tahu warna-warna yang harmoni agar kelak hasilnya harmoni jua.

           Profesion perguruan ini menuntut bukan 24 jam masa sehari, malah melebihi dari itu. Di tangan-tangan guru inilah terletaknya pelbagai warna yang mampu mengubah rona putih itu. Berbalik kepada persoalan masa, berapakah jumlah masa yang digunakan oleh anak-anak bersama guru-guru berbanding dengan keluarga? Seawal umur ummi hinggalah mengenal alif ba ta dan seterusnya a b c dan seterusnya...  proses tersebut tidak mampu terhenti di situ sahaja. Ia akan berterusan lagi.. lagi... dan lagi..

           Kepada guru-guru atau bakal-bakal guru, senang sekali kalau mampu untuk kita sama-sama renungi langkah pertama kita sewaktu "terjun" dalam profesion ini. Marilah sama-sama kita memperbetulkan nawaitu kita agar anak-anak yang dilahirkan itu terbentuk menjadi manusia sebagaimana selayaknya. 

        Sekadar mengambil catatan yang menggerunkan hasil dari statistik jenayah dilakukan anak kepada ibu bapa antara tahun 2005 hingga september 2009 [ sumber bahagian siasatan seksual/kanak2 , jab jenayah Bukit Aman ]

2005 [ 3093 kes ] suspek anak 198 orang
2006 [ 3264 kes ] suspek anak 235 org
2007 [ 3756 kes ] suspek anak 222 orang
2008 [ 3038 kes ] suspek anak 218 kes
2009 [ 2930 kes ] suspek anak 232 orang 
 
          Mengejutkan, statistik ini hanya merujuk kepada kes-kes yang dilaporkan , entah berapa banyak kes [terutama di kampung-kampung] yang tidak dilaporkan , gejala anak melawan ibu bapa , memukul , menghalau dari rumah , menzalimi ibu bapa sendiri , mencuri harta ibu bapa , [malah membakar rumah]. Itu belum termasuk kes anak tidak sanggup memelihara orang tua sendiri , lalu dihantar ke rumah penjagaan orang-orang tua,dari saat dimasukkan sehingga meninggal , si anak tidak pernah sekalipun datang melawat , kasihan sungguh orang tua itu ..anak yang dibelai dan ditatang sejak tapak kaki sebesar jari sehingga dewasa membiarkannya keseorangan terbiar , disaat dia memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang anak ..

            Lagi-lagi persoalan lama itu menujah benakku. Kita yang secara tidak langsung membentuk modal insan sejak dari peringkat awal lagi seharusnya tidak hanya  berpeluk tubuh dan menunding jari kepada orang lain apabila " Tanggang Moden" ini lahir pada abad akan datang kerana apa yang kita tuai hari ini adalah hasil dari apa yang kita semai sebelumnya. Ayuh! bangkitlah bersamaku.. perjuangkan amanat ini tanpa prajudis.. ya.. tanpa prajudis...

          Nota kecil itu ku genggam erat.. masih ada yang tertinggal... masih ada yang belum usai.. dan perlahan-lahan air mata ini tumpah lagi. TITIK
           

No comments:

Post a Comment