Pages

Wednesday, December 15, 2010

Lindungi Mereka..

        KANAK-KANAK memerlukan perlindungan undang-undang bagi mengelak kudrat, bakat dan tubuh badan mereka dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, ada 47,000 kanak-kanak yang bekerja di negara ini dan majoriti mereka membantu keluarga atau bekerja sambilan. 
    
   Eksploitasi ke atas kanak-kanak memang wajar dikawal seketat mungkin kerana mereka terdedah kepada pelbagai bahaya serta merencat proses pembelajaran mereka. Kerja dilakukan mungkin membahayakan kesihatan, fizikal, mental, jiwa, moral mahupun perkembangan sosial dan sahsiah. Umumnya, dianggarkan 250 juta pekerja kanak-kanak dilaporkan di seluruh dunia. Walaupun di Malaysia masalah ini tidak serius,  namun Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010 yang dibentang dan digulung perbahasannya oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan di Dewan Negara,  amat perlu bagi memberi perlindungan kepada pekerja bawah umur daripada dieksploitasi. Ini termasuk kanak-kanak yang berbakat dalam bidang seni seperti pelakon, pemuzik atau penyanyi, yang selepas ini mesti mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja untuk menceburi bidang itu. 
 
      Kita tidak mahu kanak-kanak yang sepatutnya menikmati zaman mereka dengan keceriaan bersama keluarga serta rakan sebaya di sekolah diperalat oleh majikan yang tidak bertanggungjawab dan memeras tulang empat kerat mereka dengan niat mengurangkan kos membayar gaji, sekali gus meningkatkan keuntungan. Kita tidak mahu kerja yang dilakukan kanak-kanak bukan saja diberi imbuhan yang minimum tetapi turut meninggalkan kesan buruk kepada perkembangan diri mereka.

       Pada masa sama, apabila akta ini dikuatkuasakan kelak, ia tidak bertujuan menghalang kanak-kanak membantu di premis perniagaan atau perusahaan ibu bapa atau penjaga mereka. Kita mesti memastikan pendedahan kanak-kanak dengan persekitaran tempat kerja mesti dilakukan secara berpada-pada atau fleksibel. Niat supaya mereka belajar sesuatu atau meningkatkan minat terhadap sesuatu bidang perniagaan atau keusahawanan memang baik. Tetapi jika semua ini dilakukan dengan paksaan atau keterlaluan, akhirnya akan membunuh minat serta bakat mereka. Kanak-kanak yang dibebani kerja secara melampau akan tertekan sehingga menjejaskan proses pembelajaran mereka. Keletihan dan kesan sampingan lain akan menumpulkan daya tumpuan di rumah apatah lagi dalam kelas. Akibatnya, prestasi pelajaran mereka terjejas dan akhirnya mungkin gagal dalam peperiksaan. Natijahnya, peluang untuk maju dan membina masa depan apabila dewasa kelak akhirnya musnah kerana mereka terbabit dengan kerja yang tidak dikawal proses perundangan ketika masih kecil. 
 
      Justeru, bertambahnya kesedaran untuk membela dan melindungi pekerja kanak-kanak dengan menguatkuasakan akta ini harus disokong semua pihak. Bagaimanapun, kita tidak mahu akta ini hanya sekadar simbol tanpa tindakan dan penguatkuasaan secara tegas serta berterusan. Pada masa sama, kerajaan perlu memperincikan skop kerja yang boleh dilakukan kanak-kanak supaya kedudukannya lebih jelas dan ada garis batasannya. Perincian ini penting untuk rujukan majikan atau pengetahuan ibu bapa atau penjaga berhubung pembabitan kanak-kanak dalam pekerjaan tertentu. Melalui satu peraturan atau pekeliling khas, skop kerja yang dibenarkan untuk kanak-kanak mesti disenaraikan. Ini termasuk soal penetapan gaji minimum, selain tempoh bekerja, cuti rehat, imbuhan, faedah rawatan perubatan serta caruman yang difikirkan wajar.

No comments:

Post a Comment